
“Tadi masa Abi dengan Ummi balik dari kedai, kami nampak biawak melintas jalan” saya mengomel.
“Biawak itu apa?” tanya Naurah.
“Biawak itu macam cicak tetapi lebih besar. Macam buaya tetapi badan lebih licin” jawab saya.
“Eee, gelinya” kata Naurah lagi.
“Biawak suka makan apa?” saya menambah soalan.
“Makan apa, Abi?” Saiful Islam bertanya.
“Makan ayamlah. Biawak suka makan ayam. Kalau ayam hilang, sama ada biawak atau pun ular sawa yang makan” saya menambah lagi.
“Tapi Yop pun suka makan ayam!” kata Saiful Islam.
“Bagus kalau suka makan ayam. Banyak khasiat. Tapi kalau makan banyak sangat, nanti berebut dengan biawak dan ular sawa. Allah jadikan manusia makan ayam, makan sayur, makan ikan, makan roti. Tak bolehlah makan ayam sahaja seperti biawak” saya mengusik.
Belum sempat soalan saya itu dijawab, anak-anak sudah terlelap. Jam baru menunjukkan pukul 10 malam. Saya menjenguk pula Imad yang sudah lebih awal tidur di bilik.
Ummu Saif bertugas shif malam hingga ke pagi esok. Malam ini giliran saya untuk menjaga anak-anak di rumah.
BELAJAR DARI PENGALAMAN
Semasa bermastautin di negara Barat, ada banyak perkara yang saya perhati dan kemudiannya menjadi pelajaran buat diri. Saya selalu berasa teruja apabila berinteraksi dengan anak-anak Irisih yang datang berkunjung ke masjid. Ramai dari kalangan mereka mempunyai budi bahasa yang baik dan tertib semasa masuk ke masjid. Hingga terdetik di hati saya, bagaimanakah cara ibu bapa mereka mendidik anak-anak ini?
Saya yakin, tidak ada cacat dan kurangnya pada Islam. Tetapi mengapa sebagai Muslim, ada kalanya budi bahasa dan ketertiban diri anak-anak itu sukar untuk dicari?
Tanpa Islam, bagaimana mereka mendidik anak-anak dengan nilai yang murni?
Ada sesuatu di sana.

Sebagaimana ibu bapa kita tidak bertolak ansur dalam memastikan anak-anak mereka belajar bersolat, begitu jugalah komitmen ibu bapa mereka yang tidak bertolak ansur dalam memastikan anak-anak DITEMAN KE TIDUR DENGAN CERITA.
Biar sesibuk mana sekali pun ibu dan bapa, salah seorang akan memastikan anak-anak diteman ke pertiduran mereka dengan cerita. Malah jika kedua-dua tidak dapat melakukannya sendiri, baby sitter yang diupah juga dipesankan perkara yang sama.
MINTA DITEMAN UNTUK AMAN

