Tidurlah Sayang

0

Posted by admin | Posted in Tips | Posted on 06-05-2009

Tags:

fscn0593

“Tadi masa Abi dengan Ummi balik dari kedai, kami nampak biawak melintas jalan” saya mengomel.

“Biawak itu apa?” tanya Naurah.

“Biawak itu macam cicak tetapi lebih besar. Macam buaya tetapi badan lebih licin” jawab saya.

“Eee, gelinya” kata Naurah lagi.

“Biawak suka makan apa?” saya menambah soalan.

“Makan apa, Abi?” Saiful Islam bertanya.

“Makan ayamlah. Biawak suka makan ayam. Kalau ayam hilang, sama ada biawak atau pun ular sawa yang makan” saya menambah lagi.

“Tapi Yop pun suka makan ayam!” kata Saiful Islam.

“Bagus kalau suka makan ayam. Banyak khasiat. Tapi kalau makan banyak sangat, nanti berebut dengan biawak dan ular sawa. Allah jadikan manusia makan ayam, makan sayur, makan ikan, makan roti. Tak bolehlah makan ayam sahaja seperti biawak” saya mengusik.

Belum sempat soalan saya itu dijawab, anak-anak sudah terlelap. Jam baru menunjukkan pukul 10 malam. Saya menjenguk pula Imad yang sudah lebih awal tidur di bilik.

Ummu Saif bertugas shif malam hingga ke pagi esok. Malam ini giliran saya untuk menjaga anak-anak di rumah.

BELAJAR DARI PENGALAMAN

Semasa bermastautin di negara Barat, ada banyak perkara yang saya perhati dan kemudiannya menjadi pelajaran buat diri. Saya selalu berasa teruja apabila berinteraksi dengan anak-anak Irisih yang datang berkunjung ke masjid. Ramai dari kalangan mereka mempunyai budi bahasa yang baik dan tertib semasa masuk ke masjid. Hingga terdetik di hati saya, bagaimanakah cara ibu bapa mereka mendidik anak-anak ini?

Saya yakin, tidak ada cacat dan kurangnya pada Islam. Tetapi mengapa sebagai Muslim, ada kalanya budi bahasa dan ketertiban diri anak-anak itu sukar untuk dicari?

Tanpa Islam, bagaimana mereka mendidik anak-anak dengan nilai yang murni?

Ada sesuatu di sana.

bedtime-story

Sebagaimana ibu bapa kita tidak bertolak ansur dalam memastikan anak-anak mereka belajar bersolat, begitu jugalah komitmen ibu bapa mereka yang tidak bertolak ansur dalam memastikan anak-anak DITEMAN KE TIDUR DENGAN CERITA.

Biar sesibuk mana sekali pun ibu dan bapa, salah seorang akan memastikan anak-anak diteman ke pertiduran mereka dengan cerita. Malah jika kedua-dua tidak dapat melakukannya sendiri, baby sitter yang diupah juga dipesankan perkara yang sama.

MINTA DITEMAN UNTUK AMAN

“Abi, Yop nak tidur dengan Abi” pinta si anak.

“Ehh, Yop sudah besar. Yop tidurlah di bilik Yop sendiri” saya menjawab.

Saiful Islam sangat monyok. Dia melangkah lesu ke biliknya.

Tiba-tiba hati saya menjadi tidak sedap.Terasa bersalah. Apabila anak meminta untuk tidur bersama, sebenarnya kebersamaan yang diperlukan hanya semasa dia mahu melelapkan mata, dan bukannya tidur bersama hingga ke pagi. Saya tersalah memahami bahasa si anak.

“Ok, Abi teman Yop dengan Naurah tidur. Abi cerita ya” saya masuk ke bilik mereka meneman.

Alhamdulillah di kediaman baru kami, anak-anak sudah ada bilik mereka sendiri. Tetapi suasana di rumah baru, menimbulkan banyak kesulitan untuk masing-masing tidur sendirian. Takut, bosan atau mungkin rasa terasing barangkali. Justeru buat sementara, saya biarkan sahaja anak-anak tidur di dalam satu bilik dan lebih mudah untuk saya meneman mereka tidur.

Wajah anak-anak berubah.

Bercerita semasa mereka mahu tidur, mempunyai khasiat yang amat besar untuk tumbesaran mereka. Malah buat kita ibu dan bapa.

Seorang ibu dan seorang bapa tidak mungkin mampu untuk duduk di sisi katil anak-anak untuk bercerita kecuali semasa hatinya sihat berisi kasih sayang. Suara ibu dan bapa bercerita dengan perasaan kasih sayang itu sangat menenangkan. Setelah anak-anak tertekan dengan keletihan di sekolah sepanjang hari, bahkan mungkin juga dirangsang terlebih oleh televisyen atau permainan komputer, cerita ibu dan bapa memadamkan semua itu.

Anak-anak tenang dan damai.

Ibu dan bapa yang bercerita turut menerima tempiasnya.

Selepas menyelesaikan cerita malam itu sekerat jalan, saya tidak dapat menahan air mata. Rasa terlalu hiba melihat wajah mereka yang sedang tidur. Bila saya kenang kembali wajah anak-anak ini di usia kecil mereka, terlihat sinar di mata memancar. Anak-anak ceria dan comel. Tetapi semakin bertambah usia, wajah mereka sedikit demi sedikit menjadi kusam dan kelam.

“Apa yang aku dah buat?” saya menepuk dada, bermonolog dengan mata yang basah.

“Abi minta maaf…” saya berbisik kepada Saiful Islam dan Naurah.

Biar pun mereka sudah terlelap, tetapi minda separa sedar mereka masih berfungsi. Bedtime Story sangat berkesan untuk menyuntik nilai-nilai yang baik apabila kalimah-kalimah yang elok diserap masuk ke minda separa sedar anak-anak yang baru memejamkan mata.

Teringat saya kepada sebuah sajak:

If I Had My Child to Raise Over Again
By Diane Loomans

If I had my child to raise all over again,
I’d finger-paint more, and point the fingers less.
I would do less correcting and more connecting.
I’d take my eyes off my watch, and watch with my eyes.

I would care to know less and know to care more.
I’d take more hikes and fly more kites.
I’d stop playing serious, and seriously play.
I would run through more fields and gaze at more stars.

I’d do more hugging and less tugging.
I’d build self-esteem first, and the house later.
I would be firm less often, and affirm much more.
I’d teach less about the love of power, And more about the power of love.

Bercerita di masa tidur anak-anak, memberikan rasa tenang kepada mereka, tetapi ia lebih memberikan rasa lapang ke jiwa ibu dan bapa yang melakukannya. Mereka akan duduk bermusahabah. Melihat dan menatap wajah anak-anak yang dianugerahkan Allah. Mudah-mudahan ibu dan bapa lebih sedar tentang apa yang telah mereka lakukan selama ini kepada amanah Allah yang diberi itu.

LEBIH MUDAH BANGUN

“Yop, Naurah, bangun ya!” saya memanggil.

“Abi, sambunglah lagi cerita semalam” itu ayat pertama yang diungkapkan anak-anak saya.

Apabila mereka tidur dengan baik dan aman, mereka juga mudah bangun di waktu paginya. Lebih banyak kesedihan dan tekanan yang dibawa oleh anak-anak ke tidur mereka, lebih susah untuk mereka bangun pagi. Fikir-fikirlah kita semua, terutamanya bagi yang anak remajanya semakin liat untuk bangun pagi. Apakah yang menguasai benak jiwa dan perasaan mereka?

Saya tidak arif untuk menjelaskan fenomena ini secara saintifik. Tetapi pengalaman peribadi memperlihatkannya jelas di depan mata. Pada malam-malam yang saya berada di rumah, meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak, menghantar mereka tidur dengan cerita dan bicara, anak tidur nyenyak dan mudah pula untuk bangun pagi. Namun tatkala saya sibuk dengan tugas, pulang ke rumah selepas ceramah jauh-jauh malam, setiap malam, berturut-turut, ada sahaja benda yang tidak kena berlaku di rumah.

Anak jadi degil.

Mukanya sugul.

Segala cakap dibantah.

Semua itu cara anak memberitahu kita, bahawa kita semakin jauh daripada mereka.

“Oh cerita semalam tak habis ya? Ok, nanti kita sambung!” saya menjawab permintaan si anak.

Ada kalanya cerita itu tidak habis kerana anak-anak tertidur. Ada masanya saya sengaja biarkan cerita itu tergantung supaya dapat disambung lagi nanti.

Entah mengapa, saya merasakan bahawa mencipta cerita sendiri lebih bermakna berbanding membacakan cerita di buku, biar pun kisah di buku itu juga banyak kebaikannya. Apabila kita bercerita dengan menggunakan imaginasi sendiri, otak yang bekerja keras mereka-reka cerita menyebabkan saya kurang mengantuk semasa mahu menidurkan anak-anak. Susah juga kalau si tukang cerita yang mengantuk dulu!

Lebih utama daripada itu, bercerita dengan cerita sendiri menjadikan kita lebih ikhlas dan benar semasa menceritakannya. Anak-anak dapat mengesan perbezaannya.

p1011111

MULAKAN

“Ayah dan emak anta buat macam itukah dulu?” tanya sahabat saya semasa kami berkongsi kisah mengenai pengalaman membesarkan anak-anak.

Tidak.

Seingat saya, memang tidak pernah.

Ayah dan bonda tidak pernah bercerita meneman saya tidur. Tetapi mereka rajin bercerita.

Bercerita tentang pengalaman bersekolah, cerita tentang zaman Jepun, cerita tentang kehidupan silam, cerita tentang pengalaman ke Mekah menunaikan Haji… pokoknya mereka seperti ramai ibu bapa kita yang sebenarnya memang gemar bercerita, biar pun tidak di sisi katil semasa kita tidur.

Cerita-cerita itu penuh terselit pelbagai nasihat dan tidak mungkin mereka bercerita tentang kisah-kisah tersebut, kecuali semasa hatinya sedang lunak mengasihi kita. Hanya si anak sahaja antara peduli atau tidak dengannya.

Tetapi tanpa pengalaman dibelai dengan cerita semasa mahu tidur sekali pun, ia bukan alasan untuk kita membalas dendam kepada anak-anak. Enggan memberi apa yang kita tidak pernah terima. Seorang ibu dan seorang bapa yang benar-benar bertanggungjawab dan mengasihi si anak, tidak akan mencari-cari alasan untuk tidak berusaha melakukan yang terbaik buat mereka.

TIDAK MALU

“Ehh, saya kena minta diri dulu. Sudah berjanji dengan anak-anak untuk balik rumah sebelum mereka tidur” saya meminta izin daripada AJK Surau yang rancak berbual.

“Allah, ustaz. Sekejap sahaja lagi ni” kata mereka.

“Maaf ye. Saya balik dulu” saya berkeras juga untuk pulang.

Mungkin bagi sesetengah orang, alasan mahu balik menidurkan anak adalah alasan yang sangat remeh dan memalukan. Saya juga pernah berasa segan untuk memintas majlis hanya dengan alasan mahu berjumpa isteri dan anak-anak sebelum semuanya tidur. Tetapi rasa segan itu mesti dilawan, kerana isteri dan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan saya, mengatasi segala-galanya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

Write a comment


Fatal error: Call to undefined function cancel_comment_reply_link() in /home/commy/public_html/anakkusoleh/wp-content/themes/rainbow-bridge-13/comments.php on line 53