Posted by admin | Posted in Perkongsian | Posted on 16-07-2009
Jun 10, 2009 oleh Muhtar Suhaili

“Muhammad ‘Izzul Islam: Permata Kesayangan Ayah dan Ibu”
As-Sarawaki, 17 Jamadits Tsani 1430H: Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah ‘Azza Wajalla, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Alhamdulillah, sebenarnya saya baru sahaja menghabiskan 13 hari bercuti dari kerja pejabat (11 hari Gawai Bridging Holidays dan ditambah 2 hari cuti In-Lieu) bermula dari 30 Mei – 9 Jun 2009. Alhamdulillah, pada 29 Mei – 1 Jun, Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberi kekuatan menyumbang khidmat menjayakan Kem Remaja Islam Sarawak 2009 di Miri, 1-2 Jun bermusafir ke Kuching dan singgah bermahabbah di Sibu, 3-6 Jun di Kuala Lumpur dan 7-9 Jun meluangkan masa bermesra bersama keluarga mertua di Kuching.
Sesungguhnya rehat juga adalah penting dalam kerjaya supaya semua ketegangan (stress) akan hilang dan sekaligus membina kekuatan dalaman diri agar kembali segar (fresh), mencetus idea-idea bernas yang lebih hebat dan mampu untuk mencorak strategi unggul sebelum kembali berkhidmat di pejabat atau sebelum ‘turun padang’ bertemu masyarakat. Isteri saya sudah memaklumkan (baca: complaint) betapa jarangnya kami ada masa berhujung minggu bersama dek kerana terlibat dengan pelbagai program! Maka minggu yang sudah tibalah saatnya untuk mengambil ruang waktu merehatkan minda dan melupakan segala perkara yang berkaitan dengan ‘business’ dan profession buat seketika.. Lebih utama, meluangkan masa bermakna semaksimum mungkin bersama keluarga tercinta!
Kelahiran Muhammad ‘Izzul Islam pada 14 September 2008
Muhammad ‘Izzul Islam… 8 Jun 2009 - 6 hari lagi 9 bulan!
Alhamdulillah, tengah malam semalam selamat tiba di Miri setelah memandu seorang diri (isteri dan anak tersayang masih di Kuching menghabiskan cuti sekolah) merentas Sarawak dari Kuching ke Miri melalui bahagian Samarahan-Sri Aman-Betong-Sarikei-Sibu-Bintulu yang mengambil masa lebih 12 jam dan merentas lebih 830 kilometer perjalanan. Luasnya Bumi Kenyalang!
Sarawak Tanahairku.. Negeriku Tanah Tumpahnya Darahku!
Realiti Semasa – Perkongsian Rasa
Isteri saya seorang kaunselor sekolah. Saya meski seorang jurutera, alhamdulillah berpeluang bertemu masyarakat khususnya belia, remaja dan pelajar sekolah dalam program-program Yayasan AMAL Malaysia dan Task Force Kecemerlangan Miri, serta sekaligus berinteraksi secara terus dengan mereka dalam (belajar) memahami psikologi, sudut pandang, romantika dan trend muda-mudi masa kini. Seringkali kami diketemukan dengan anak-anak muda yang mengadu kebosanan dan kebencian, melampiaskan kekecewaan berbaur nada kemarahan, berkongsi kerunsingan dan pantas memohon nasihat menyelesaikan rencam masalah yang mendilemma di dalam diri dan mengoyak sanubari. Percayakah kalian sekiranya kami nyatakan bahawa kebanyakan masalah muda-mudi yang kami maklumi ini berpunca daripada ketempangan hubungan rumahtangga ibubapa dan cacamarbanya institusi keluarga? Ya, bahkan inilah realitinya! Rumahku Syurgaku menjadi impian semua, namun malangnya dek kerana suasana Rumahku Nerakaku menjadi realiti yang dihadapi sehari-hari, maka natijah akhirnya ia mengharu-birukan pembentukan keluarga Islami… Bahkan menghancurkan pembinaan generasi mendatang!
Keluarga Bahagia Impian Setiap Insan
Melalui entri kali ini, saya ingin berkongsi dan mungkin mendapatkan input dari tetamu ziarah yang beriman dan budiman sekalian mengenai topik membentuk Keluarga Islami yang dipenuhi sakinah, mawaddah wa rahmah. Sesuai dengan tajuk entri ini: “Pembentukan Keluarga Islami Dan Pendidikan Anak”, alangkah baiknya sekiranya input-input berkaitan dapat kita kongsikan bersama dalam memperkasa habluminannas (hubungan sesama manusia) dalam keluarga ke arah membina kehidupan yang diredhai Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sungguh, keluarga bahagia adalah impian setiap insan dan semua orang!
Ayat-ayat Cinta Dari Al-Qur’an dan As-Sunnah
Awwalan, pertamanya marilah kita melihat neraca Al-Qur’an dan As-Sunnah dalam menilai perkara ini. Sesungguhnya teori-teori manusia yang sehebat manapun dalam memperihalkan hal kerukunan rumahtangga pasti akan ada cacat-celanya. Akan tetapi suluhan Al-Qur’an dan asas kehidupan yang dicontohkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pasti lengkap sempurna lagi benar sahih.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dengan penuh kasih sayang di dalam Al-Qur’anul Kariim:
“Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan keturunan kami kesenangan hati, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.”” (Surah Al-Furqan, ayat 74).
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan sentiasa mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim, ayat 6).
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan nasihat dan pelajaran kepada orang yang hendak berkeluarga dengan bersabda:
“Dapatkan wanita yang beragama, (jika tidak) nescaya engkau merugi!” (HR. Al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengangkat keutamaan anak soleh dengan sabdanya:
“Apabila manusia mati maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu bermanfaat, atau anak soleh yang mendo’akannya.” (HR. Muslim, dari Abu Hurairah).
Aku Sedang Belajar Membentuk Keluarga Islami
Posted by admin | Posted in Khutbah Jumaat | Posted on 10-07-2009
Tags: Khutbah Jumaat

Sidang Jumaat rahimakumullaah,
Di dalam sebuah rumah di Madinah, ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu duduk bersama dengan sekumpulan sahabat. Beliau berkata kepada mereka, “nyatakan harapan kamu!” Salah seorang daripada mereka berkata, “impianku adalah untuk memiliki emas yang dapat memenuhi rumah ini, agar aku dapat membelanjakannya di jalan jihad.”
Kemudian ‘Umar berkata lagi, “nyatakan harapan kamu!” Seorang lagi sahabat berkata, “impianku adalah agar rumah ini penuh dengan permata dan mutiara agar semuanya dapat kubelanjakan untuk jihad dan kebajikan fi sabilillah.”
‘Umar berkata lagi buat kali yang ketiga, “nyatakan harapan kamu!” Lalu sahabat-sahabat yang ada berkata, “kami sudah tidak tahu apa yang patut diperkatakan wahai Amirul Mu’minin.”
Lalu ‘Umar berkata, “harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!”
Benar.
Semoga Allah mencucurkan redha dan rahmat-Nya kepada ‘Umar. Beliau sesungguhnya tahu apakah sebenarnya tunggak sebuah tamadun, bagaimana misi yang besar boleh Berjaya dan bagaimanakah ummah yang mati boleh dibangkitkan semula.
Walaupun sebuah negara dengan wawasannya memerlukan sumber untuk berjaya, mereka terlebih dahulu memerlukan manusia yang merancang dan menguruskan sumber-sumber itu. Malah di antara segala keperluan sebuah negara, keperluan tertinggi ialah pada lelaki-lelaki sejati, tunggak ummah berdiri.
Sidang Jamaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya lelaki-lelaki tulen itu amat sukar untuk dicari, sebagaimana sukarnya mencari intan dan permata. Kerana itu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:
![]()
“Lelaki berkualiti seperti unta hanya satu dalyang mampu menanggung beban yang berat untuk perjalanan yang panjang, kamu sukar untuk menemuinya sebagai satu dalam seratus” [Hadith riwayat al-Bukhari]
Sejarah membuktikannya.
Catatan-catatan hebat di sepanjang sejarah itu berlaku bukan ketika umat bertemu permata berharga yang tidak pernah ditemui sebelumnya. Tetapi umat akan mencapai kegemilangan seiringian dengan kemunculan manusia-manusia hebat seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih pembebas Constantinople.
Impian ‘Umar al-Khattab itu adalah sebenar-benar impian yang juga diimpikan oleh lelaki tulen yang hebat sepertinya.
“Dalam banyak-banyak ilmu, rasa antalah, ilmu apa yang paling anta ambil berat untuk diajar kepada anak-anak?” tanya seorang sahabat.
Soalan itu adalah lanjutan daripada tanda-tanya beliau mengapa saya agak kurang menulis tentang keibubapaan kebelakangan ini. Saya sedang melalui saat-saat yang sukar untuk belajar dan mengajar, kerana cabaran anak-anak terus berubah dengan cepat dari semasa ke semasa.
“Ilmu kebal!” jawab saya.
“Ilmu kebal? Ilmu mandi minyak ke?” tanya beliau lagi.
“Bukan. Ilmu kebal jahiliyyah. Ilmu ikan tidak masin di laut” saya menyambung lagi.
Kami ketawa.
“Oh, itu rupanya. Dimensi lain seni mempertahankan diri,” ujar beliau.
PEMANGSA MAKIN MENGGILA
Saya hilang kata memikirkan tentang keselamatan anak-anak sekarang. Pelbagai kes jenayah adakalanya menyebabkan kita jadi berlebih-lebihan dalam memberikan pelindungan kepada anak-anak. Hingga tidak boleh hilang di pandangan mata, biar pun seketika.
Mahu sahaja saya pakaikan anak dengan baju besi, menyiapkannya dengan bom C4 untuk dilontar kepada penjenayah-penjenayah tidak berhati perut yang menggila tanpa mengira usia mangsanya.
Tetapi kerisauan saya lagi, adalah tentang pemangsa yang abstrak.
Pemangsa yang tidak kelihatan, ia muncul dalam bentuk budaya, pemikiran, nilai, cara berfikir, yang semua itu adalah komponen-komponen aqidah yang menjadi akar umbi kepada jati diri seorang anak, ibu dan bapa bernama MUSLIM.
Ritual atau persoalan-persoalan berkaitan Fardhu ‘Ain tidak lagi boleh dijadikan ukuran bahawa si anak sudah menerima nafkah spiritual daripada ibu bapanya. Sembahyang lima waktu, doa setiap waktu, hafal rukun ini dan hafal rukun itu, semua itu penting dan pengajarannya perlu berterusan. Tetapi anak-anak harus cepat difahamkan tentang hakikat, semua itu adalah proses. Bukan matlamat akhir.
Agar jangan nanti hati terkilan mendengar kisah seorang gadis yang bertudung, bersolat dan hafal surah Yasin, murtad kerana cinta!
Bukan andaian.
Tetapi latar belakang individu murtad seperti Aisyah Bukhari dan Hartina pada era 90?an lalu, menunjukkan hal yang demikian. Biar pun kes murtad mereka masih diselubungi pelbagai tanda tanya, sekurang-sekurangnya kita tahu mereka berdua bukanlah miskin didikan agama. Khatam Quran berkali-kali, dan cukup serba serbi dalam amalan Fardhu ‘ain mereka, belum berjaya berfungsi sebagai ILMU KEBAL yang saya maksudkan.
Inilah hujah paling penting mengapa kita tidak boleh bergantung dan berpuas hati dengan silibus sekolah, sama ada silibus agama di sekolah biasa, mahu pun silibus agama di sekolah agama. Ada banyak perkara yang perlu diubah suai oleh guru agung anak-anak ini, iaitu ibu bapa mereka, dalam kehidupan seharian di rumah.
PANDUAN MEMBUAT KEPUTUSAN DAN PILIHAN
